Apr 16, 2014

Kisah Teladan : Ilmu Ikhlas

"Mari ku ajarkan kamu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.

"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulis."

"Tak payah, bawa sahaja karung guni ini."

"Karung guni?" soal anak muridnya seperti tidak percaya.

"Mari kita ke pasar!"

Dalam perjalanan ke pasar, mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu. 

"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan. 

Tanpa banyak soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui di sepanjang jalan.

"Cukup?"

"Belum. Isi sampai penuh karung guni itu."

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar keluar.

"Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?"

"Tidak. Bukankah karung gunimu telah penuh?"

"Ya, ya." kata murid, agak kelelahan.

"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan berat itu.

"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli," kata seseorang yang lain.

"Agaknya mereka hendak buat kenduri besar kot," kata yang lain pula.

Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. "Oh, letih sungguh, apa yang kita nak buat dengan batu-batu ini Tuan Guru?"

"Tak buat apa-apa."

"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid.

"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas."

"Ikhlas?"

"Kamu dah belajar apa akibatnya jika tidak ikhlas dalam beramal."

"Dengan memikul batu-batu ini?"

"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu-batu."

"Amal yang tidak ikhlas umpana batu-batu ini?"

"Ya, hanya berat sahaja ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah.Yang kamu dapat, hanya penat."

"Ya, sekarang saya paham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas." Ujar si murid. 

Pengajaran : Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa terpaksa hidup dalam keadaan bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.

No comments: