Apr 15, 2014

Kisah Teladan : Berusaha Keras Demi Keluarga

Seorang ayah yang mempunyai tiga orang anak bekerja keras untuk mengubah nasib keluarga mereka. Sekadar bekerja di kilang tidak memadai untuk menanggung keperluan keluarga. Si ayah mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma.

Kesannya, si ayah bekerja pada waktu siang dan menghadiri kelas pada waktu malam.

Hari cuti minggu juga digunakan sepenuhnya untuk mengulang kaji. Isteri dan anak-anaknya merungut kerana ayah mereka tiada masa untuk bersama-sama mereka.

Walaupun kini telah memiliki diploma dan menjawat jawatan sebagai penyelia, si ayah terus mendaftar untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda bidang pengurusan pula.

Si ayah terus sibuk termasuk pada cuti hujung minggu dengan pelbagai tugasan akedemik atau kebanyakan masa dihabiskan di perpustakaan.

"Abang, carilah masa untuk anak-anak kita juga. Kasihan mereka,tidak dapat merasai kasih sayang abang," nasihat si isteri kepada suaminya.

"Abang lakukan ini semua demi keluarga kita juga agar suatu hari nanti kita hidup selesa dan mewah. Abang memang ingin peruntukkan masa untuk keluarga, tetapi buat masa sekarang abang masih sibuk lagi."

Setelah bertungkus lumus,si ayah kini berhasil menggenggam ijazah tersebut. Apa lagi, dia terus ditawarkan jawatan sebagai penolong pengurus. Gajinya dua kali ganda daripada sebelumnya.

Dari rumah pangsapuri sempit, mereka kini berpindah ke rumah teres sederhana besar. Hidupnya kini lebih selesa dan mampu menunaikan segala keperluan material isteri dan anak-anak.

Tidak cukup dengan itu,si ayah terus bekerja keras di samping menyambung lagi pengajian ke peringkat sarjana pula. Dua tahun kemudian ijazah sarjana sudah berada dalam genggaman.

"Abang memang mahu peruntukkan masa untuk isteri dan anak-anak, tetapi abang sibuk sekarang. Abang lakukan semua ini pun untuk keluarga kita." Itulah alasan yang sering diberikan.

Setiap cuti hujung minggu digunakan sama ada bersama pelanggan, menghadiri kursus, menghadiri mesyuarat di luar dan pelbagai urusan lagi.

Akhirnya dia berjaya mencapai segala yang dihajatinya. Dia berkata kepada anak-anak dan isterinya di rumah baru mereka, sebuah banglo di atas bukit.

"Ayah dah buat keputusan akan berhenti mengejar kerjaya dan kemewahan kerana ayah telah berjaya mendapat segala yang ayah hajati. Jadi mulai hari ini, ayah akan habiskan masa bersama-sama keluarga."

Keesokannya, si ayah didapati meninggal dunia dalam tidur akibat serangan jantung.

Pengajaran : Tidak salah sibuk mengejar ilmu dan harta dunia, namun pastikan juga aspek kerohanian dan kekeluargaan tidak terpinggir. Jangan terlambat kerana mati datang secara tiba-tiba.

*******************************************************************

Aku dah share buku kisah teladan ni kat Ig, tapi lupa nak share kat sini. Lupa bukan semua orang ada Ig. Huhu!

Copy paste :

 Sebab dah ramai yg tanya. Kisah teladan yg aku up kat blog tajuknya angguk geleng. Ada jual kat popular. Kisahnya pendek2. Tp paling win buku mak aku kisah para wali Allah. Xsure jual kat mana. Mak aku beli 20 tahun yg lepas masa kat tabung haji kot. Selamat mencari ;)

No comments: