nuffnang

Mar 22, 2019

KISAH PERJALANAN SEORANG HASMAH

Assalamualaikum, kisah ni aku jadikan kenangan dan pengajaran untuk semua. Yang baik jadikan tauladan. Disebabkan ramai yang nak tau macam mana mak aku boleh buka kedai perabut atas nama "ZARA FURNITURE ENTERPRISE", kisah yang agak panjang. Jadi kalau korang rasa belum ada masa nak baca, tak perlu baca lagi. Nanti ada masa senggang baru la baca sebab panjang ni, kang korang tak paham. hehe!

Mak aku, Hasmah berkahwin dengan abah masa umur dia 17 tahun. 17 ke 16 ke aku tak pasti, yang aku tau umur mak 17 tahun dia dah dapat sorang anak. Jadi untuk pengetahuan umum, hasil perkahwinan ni, mereka dikurniakan 9 orang cahaya mata yang cecomel, makin besar makin comel. hashtag done puji diri sendiri. haha!

1. Zaki (Abang) 50 tahun
2. Zarina (Akak) 48 tahun
3. Zahirah (Kaklang) 46 tahun
4. Zaharah (Kakcik) 44 tahun
5. Zakhir (Ode) 42 tahun
6. Zaimah (Andak) 39 tahun
7. Zanira (Atam) 37 tahun
8. Zikri (Ateh) 34 tahun
9. Zuhana (Aku) 31 tahun

Adik beradik aku cukup nyampah kalau aku mention umur memasing, hahahaha! Aku sengaja nak sedarkan diri memasing tu dah tua. Perangai tu berpada-pada sikit, dorang ni makin tua makin over weh, haha! Lelagi yang 40-an tu. kahkahkah!!

Mak aku memang hidup susah. Sejak kawin abah bawak mak merantau, dari Perak ke Kuala Lumpur. Masa tu kat KL air pun takde kat rumah, kena jalan pergi ambil air kat tangki, letrik pun abah pasang carburator (maafkan aku tak tau eja), haha!

Abah kerja pemandu lori untuk sara hidup anak beranak. Mak orangnya memang sejenis berjimat cermat. Tanam sayur, jadinya mak tak pernah beli sayur. Tanam pokok buah-buahan. Dulu rumah aku ada pokok buah kedondong, buah rambutan, mangga, pisang, pokok jering, macam-macam lah.

Mak belajar jahit baju sebab tak mampu nak beli baju siap. Anak ramai.

Sampai satu masa, abah sakit. Abah tak kerja. Jadinya mak buat bisnes jual buah. Ambil stok kat hulu langat, setiap hari jual buah kat lorong atas rumah. Bisnes takde la bagus sangat, buah pisang, jual kat kampung pulak tu. Tapi mak cakap boleh la nak makan sehari-sehari guna duit tu.

Bertahun jual pisang, mak mengandungkan Atam. Mabuk teruk, terus tutup kedai. Abah pulak sambung kerja pemandu lori semula. Kerja pemandu lori ni, dalam sebulan, 3 hari je ada kat rumah.

Jadi mak memang bergantung dengan jiran-jiran jugak la kalau jadi apa-apa. Kalau abah tak balik, tiba-tiba makanan kat rumah habis langsung. Memang mak pinjam kat jiran-jiran. Sebab tu sampai sekarang ni sayang gila kat jiran-jiran macam Cik Mah bff mak. Memang paling sayang lah tu sebab masa tu saudara mara semua kat kampung, so itulah saudara paling dekat dan paling rapat.

Bisnes kecik-kecik menjual kat kampung, apa sangat lah boleh dibuat kan.. Nenek (belah abah) bagitau mak nak pergi haji tapi takde duit. Jadinya mak kumpul duit, cari duit sampai boleh hantar nenek pergi haji. Walaupun masa tu anak ramai, tapi mak dahulukan nenek sebab mak cakap nenek teringin pergi haji.

Nenek balik dari Haji, nenek sakit. Tak berapa lama lepas tu, nenek meninggal. Lepas nenek dah takde, mak kumpul duit perlahan-perlahan..2 tahun mak kumpul.

Abah sewa lori 3 tan. Arwah abah aku memang terkenal kat kampung tu dengan nama Noh Lori.. Mak cakap sewa bulan-bulan lori RM600. So duit yang abah dapat setiap hari, abah akan bagi semua dekat mak..

Abah memang sejak kawin, bagi semua duit kat mak sebab dia tau mak yang jaga akaun keluarga. Mak yang nak gi beli semua barang dapur. Jadi semua serah kat mak. Bila dah dua tahun, mak cakap mak senyap-senyap simpan LAPAN PULUH RIBU. Terkejut aku dengar, hahahaha!

Mak cakap, tiap bulan simpan RM200, takde siapa tahu. Tapi bila abah dapat tahu mak ada simpanan sampai RM80K, abah mintak beli lori 5 tan. Demi memikirkan masa depan, mak pun setuju beli lori second hand berharga RM8k.

Tak lama lepas tu, lori sewa 3 tan yang abah duk sewa RM600 sebulan tu pun, owner dia let go kat abah. Jadinya, masa tu abah ada 2 lori. 5 tan dan 3 tan.. Aku tak paham macam mana kerja pemandu lori ni berfungsi.

So mak cakap, setiap hari abah akan ke jerat cina, area tu memang tempat orang mencari lori untuk disewa. Jadi abah akan pergi sana tunggu customer datang sewa. Ada jugak regular cust yang dah kenal, dorang pagi-pagi datang rumah ambik lori. Macam tu lah kisahnya bila abah dah beli lori.

Duit yang mak simpan, pelan-pelan mak buat kedai. Kedai yang aku cakap sekarang ni la. Mak cakap lamaaaa buat kedai tu. 8 tahun tak siap-siap, sebab duitnya sikit-sikit.

Sementara tu, mak buat bisnes lipat kotak. 1000 kotak dapat RM3. Mak ambik duit tu setahun sekali, setiap kali nak raya. Duit tu untuk cover beli kain baju raya dengan bahan kuih raya. Kain baju raya tu, mak akan jahit. Yela anak 9 orang mana la nak beli sorang-sorang punya baju. Beli kain je la mampu dan mak jahit semuanya sekali. So setahun tu dapat la dalam RM700+. 4 tahun jugak mak kerja lipat kotak. Sampai tak tidur malam..

Mak cakap, abah dengan mak hidup susah. Setiap hari nak keluar rumah, abah mintak mak doakan rezeki keluarga, bila abah hidupkan enjin lori tu, dia doa Ya Allah, adalah rezeki untuk anak-anak aku..

Sejak tu jugak mak aku berjimat cermat. Bertahun tak beli baju. Balik kampung pakai baju sama. Orang mengata selekeh, miskin tapi nak anak ramai, macam-macam lah.. Hidup kena kata orang ni macam asam garam dah. Mak tak peduli pun. Asalkan mak tak susahkan sesiapa. Gitu...

Orang kata, rezeki Allah nak bagi dah sampai. Ada satu hari, customer abah kata nak sewa kedai sebulan dia bayar RM300. Masa tu kedai setingkat lagi. Tingkat atas masih buat pelan-pelan. Dia nak letak tabung gajah.

Orang yang lahir tahun 80-an tahu la kot. Tabung gajah yang bila letak duit ada lagu. hahaha! Dorang sewa kedai mak n abah sebab tak cukup ruang. So separuh kedai kat bawah tu penuh la tabung gajah. Habis je tabung gajah tu, ada orang lain pulak datang nak sewa.....

Dia nak sewa letak barang-barang Redifussion. Kalau korang google, Redifussion furniture atau electric rasanya mesti korang nampak banyak gambar lama-lama, sebab memang brand ni lama gila dah. Masa ni dorang offer nak letak barang kat kedai dengan sewa RM1000 sebulan..

Kedai tu memang besar gaishhh..hahaha! Zaman tu RM1000 sebulan, ko ghase... Lepas tu, barang redifussion ni bapak banyak gila ye. Dorang mintak mak abah tolong jual produk dorang, sebab masa ni dorang dah nak brankrap. So nak lelong semua barang..

Masa ni la mak dapat kumpul duit lebih, siapkan tingkat atas kedai. Bila dah siap tingkat atas. Orang Rediffusion tu nak sewa atas sekali. Jadinya setiap bulan mak sewa kedai atas dan bawah. Dan komisyen jual barang dorang.. Sampai licinnnnnnn habis barang dorang.. Kedai tu kosong lah......

Masa ni tak silap aku, abah dah ada 3 lori. 5 tan, 3 tan, 1 tan. Mak pulak beli Van senang anak beranak nak berjalan.

Ha ini kisah masa tengah jual produk Redifussion, memang ramai sangat orang membeli. Mak cakap sampai pukul 1 pagi orang membeli. Ada syarikat Singer kat lorong atas (lorong yang mak aku jual buah pisang tu), dorang report kat polis kata mak abah aku jual secara haram.

Jadi, malam tu, datang 3 trak polis ke kedai nak tangkap n buat rampasan la. Sekali bila cek-cek, dorang balik semula sebab memang abah n emak berniaga secara sah. Lesen semua ada. Paling mak terkejut, esoknya, polis yang datang 3 trak tu, datang bawak kawan-kawan beli banyak gila kat kedai. Hehehe! 10 kereta polis camtu la tak silap datang sampai 1 2 pagi membeli. Polis tu pesan, jual je. Memang orang dengki bila orang melayu menjual. Gitu..

Memang zaman mak aku dulu dah orang dengki-dengki ni, haha! Jadi jangan kisah la kalau sekarang ni pun terjadi. Takkan hilang sifat dengki ni.

Ok berbalik kepada kedai tu dah kosong..

Mak kata, orang kampung suruh jual perabut. Dorang takde tempat nak beli jauh. Abah kan ada 2 lori, so senang la nak hantar barang semua. Mak abah pandai bawak lori, jadi memang takde masalah bab hantar perabut rumah orang.

Mak abah pun round la mencari pemborong perabut. Ada satu tempat, dorang tengok mak abah selekeh je. Mak cakap, baju mak masa tu semeter 40sen, jahit sendiri pulak. Sapa la nak percaya pun. Orang Cina tu mintak tengok tapak tangan abah, dia geleng kepala. Dia tengok tapak tangan mak, terus setuju nak bawak mak round kedai tengok perabut.

Paling mak tal boleh lupa, Cina tu terdengar bunyi telefon. Mak cakap kat abah, telefon awak berbunyi. Bila abah cek, bukan. Pastu mak cari dalam beg mak, rupanya telefon mak. Terbeliak biji mata orang tu. 2 biji telefon bimbit. Dulu telefon bimbit stok baling anjing tu harganya LAPAN RIBU tau. Mak aku beli DUA.

Lepas round kedai dah pilih-pilih, total harga semua perabut EMPAT PULUH LIMA RIBU. Emak bayar CASH. Terpelanting pen orang cina tu. Bukan dia je, masa aku dengar cerita mak ni, aku pun terkejut wei, hahahaha!

Mak cakap, memang la sampak 45k, kedai tu dua tingkat. Penuh la semua sudut. Sejak bukak kedai, ramai supplier singgah kedai offer harga perabut suruh ambik dengan dorang. Sebab record mak bersih katanya, haha! Tak pernah hutang.

Sekarang mak takde duit dah, dah jalan-jalan, dah pergi umrah bawak anak-anak semua, kawinkan anak-anak, sekolahkan anak-anak. Sekarang ni hidup dengan duit anak bagi tiap-tiap bulan lah pulak. hahaha!

Pengajaran yang mak aku ceritakan. Bila susah usahalah. Tolong makpak (contoh bawak mak pergi haji tu), mak cakap, mak rasa sebab mak bawak nenek pergi haji, rezeki lepas tu tak putus. Biar hidup susah, jangan susahkan orang. Bila dah senang, beringat. Jangan nak nampak gah, low profile je. Bila kita nak sibuk nampak kaya, masa ni ramai yang ngaku saudara. Datang nak pinjam duit, nak itu nak ini. Biarlah kita nampak biasa-biasa je. Takyah sapa pun tau kita senang ke susah. Kita hidup je macam biasa.

Kisah masa mak susah, memang sedih takde la aku ceritakan semua skali dalam ni. Ada issue sensitif biarlah ahli keluarga je yang tahu. Tapi apa yang aku nampak dekat mak dan abah aku. Dorang ni tak pernah berdendam dengan siapa-siapa. Biar lah teruk macam mana pun orang mengata, sabar je la...

Habis cerita makpak aku la....

So ini bahagian aku tau.. hahaha! Aku darjah 2, kedai abah tu dah beroperasi (jual barang sendiri). So lebih kurang umur aku 8 tahun la. Walaupun masa tu mak abah aku agak senang (ikut cerita mak aku tu la kan), tapi aku tetap tak beli baju baru wei. Hahaha! Duk pakai baju kakak-kakak yang dah lusuh. Rasanya raya je la dapat baju baru. Mak abah memang langsung tak tunjuk kat anak-anak yang dorang ni sebenarya ada duit. Kan aku pernah cerita sebelum ni, duit raya simpan untuk beli barang sekolah macam pensel box, beg sekolah semua aku beli sendiri.

Tapi itulah dia. Siapa aku pada hari ini adalah hasil ajaran makpak yang sememangnya ohsem tu. Bangga betul jadi anak Noh Hasmah. Biarlah orang pandang rendah, yang penting kita bahagia. Bahagia cara kita....

 Ini semua barang yang aarwah abah tinggalkan lepas dia meninggal. Still banyak lagi barang dalam kedai, tapi masalahnya sekarang kebanyakkan barang takde harga, hahaha! Abah ni power. Dia boleh ingat semua harga barang dalam kepala otak dia je.

 Sebab tu kitorang susah nak bukak kedai ni. Tapi dengar-dengar mak nak lelong semua.











Kesimpulannya, segala kisah dalam blog ni, yang baik ambik. Yang tak baik buang jauh-jauh. Okbye

2 comments:

JAMIL HASHIM said...

Alhamdulillah,'besar pengorbanan mak ayah kita. terima kasih atas perkongsian...
#jmbelog

IamAin said...

babe, kat mana kedai tu? address?